
Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat, memaklumkan seramai 28 Ahli DUN tidak bersetuju, manakala 27 ADUN bersetuju setelah undian secara rahsia dijalankan selama dua minit.
Sebelum itu, Menteri Besar Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan kerajaan Persekutuan dan berdasarkan maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kedudukan ADUN dalam JTPD adalah merujuk kepada ADUN di pihak kerajaan.
Beliau berkata, sejak persidangan DUN lalu, cadangan pembabitan wakil rakyat pembangkang dalam JTPD telah dibangkitkan dan susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan seperti Arahan No.1 (2020) daripada ICU Jabatan Perdana Menteri.
“Maklum balas daripada ICU Jabatan Perdana Menteri melalui surat bertarikh 18 November 2021 menyatakan, bahawa buat masa ini, kedudukan ahli Parlimen dan ADUN dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan JTPD seperti arahan No.1 2020.
“Menerusi arahan itu, dalam Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara adalah merujuk kepada ahli Parlimen dan ADUN yang sama parti dengan kerajaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Bagaimanapun, Hasni berkata, atas semangat sebagai rakan strategik, kerajaan negeri berbesar hati menjemput semua ADUN Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat JTPD sebagai pemerhati, yang membawa maksud bahawa mereka akan dijemput hadir setiap kali mesyuarat JTPD.
“ADUN pembangkang juga boleh kemuka cadangan secara bertulis kepada pengerusi JTPD bagi daerah masing-masing. Malangnya, perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelah sana tidak bersetuju sekiranya dijemput sebagai pemerhati malah mempersenda pemerhati sebagai pelawat,” katanya.