Isu royalti: PAS cadang jawatankuasa bebas Kelantan-Putrajaya

Isu royalti: PAS cadang jawatankuasa bebas Kelantan-Putrajaya

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apabila jawatankuasa khas itu diwujudkan, perbincangan harus diadakan melibatkan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri.

Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) meninjau Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan ketika melakukan lawatan kerja di tapak projek tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas, Kelantan. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Sebuah jawatankuasa bebas melibatkan kerajaan negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan wajar diwujudkan bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan royalti petroleum, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata apabila jawatankuasa khas itu diwujudkan, perbincangan harus diadakan dengan melibatkan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri.

“Saya cadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa bebas yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat untuk kita mengesahkan beberapa perkara, pertama sekali (soal) jarak tiga batu nautika, kerana (pihak) masing-masing ada fakta sendiri mengenainya.

“Kedua, soal berapa jumlah pengeluaran itu juga kita kena tentukan, dan ketiga melibatkan soal tiga batu nautika, yang ketika buat perjanjian dahulu tidak ada dalam senarai,” katanya dalam sidang media di Kampung Pohon Celagi, selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Pelaksanaan Segera bagi Menangani Bencana Runtuhan Tebing Sungai, di sini.

Ketika ditanya sama ada isu berkaitan royalti petroleum yang berlanjutan sejak sekian lama itu boleh diselesaikan, katanya beliau yakin ada jalan terbaik untuk menangani perkara itu, tambahan pula menurutnya Kerajaan Negeri Kelantan kini bukan lagi berada dalam blok pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.