Trend kes Covid-19 turun di Sarawak tulen, bukan manipulasi demi PRN, kata Uggah

Trend kes Covid-19 turun di Sarawak tulen, bukan manipulasi demi PRN, kata Uggah

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, angka berkenaan dilaporkan KKM setiap hari dan kerajaan negeri tidak terlibat dengannya.

Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri menggesa PRN12 diadakan sekarang adalah langkah tepat kerana bimbang mungkin muncul varian baharu dan musim tengkujuh dijangka bermula awal tahun depan.
BARAM:
Trend penurunan jumlah kes baharu Covid-19 di Sarawak tidak dimanipulasi seperti didakwa sesetengah pihak, kata Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, beberapa individu membuat dakwaan itu menerusi media sosial dan menuduh trend penurunan jangkitan Covid-19 itu sengaja direka-reka kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyokong langkah untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 diadakan.

“Angka berkenaan dilaporkan setiap hari oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kerajaan negeri tidak terlibat dalam perkara ini. Beberapa netizen menuduh kerajaan melakukan manipulasi untuk mewajarkan keputusan supaya PRN12 diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di balai raya Kampung Long Bemang di sini.

“Ia langkah betul diambil kerajaan negeri dengan menggesa PRN diadakan sekarang. Kita bimbang kemungkinan muncul varian baharu pada masa hadapan, selain jika kita menunggu sehingga tahun depan, musim tengkujuh dijangka berlaku di negeri ini bermula Januari hingga Februari depan.”

Sarawak merekodkan 239 kes pada Selasa, 192 kes (Rabu), 171 kes (Khamis), 144 kes (Jumaat) dan hari ini sebanyak 137 kes. Uggah berkata, trend menurun kes jangkitan itu berikutan kejayaan program vaksinasi yang menyaksikan 90.5% individu lengkap divaksin, merangkumi 75.5% keseluruhan penduduk Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, 634,684 individu telah menerima dos penggalak setakat ini.

Di sebalik kejayaan ini, Uggah berkata, setiap penduduk di Sarawak perlu terus mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19 di negeri ini, khususnya apabila berlangsung PRN kelak.

“Kita wajib melindungi diri kita untuk melindungi orang tersayang dan semua rakyat Sarawak.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Dis sebagai hari penamaan calon untuk PRN12 Sarawak dan 14 Dis sebagai pengundian awal, manakala 18 Dis hari mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.