Bukan mimpi lagi, niaga di pusat beli belah kini dalam capaian usahawan Bumiputera

Bukan mimpi lagi, niaga di pusat beli belah kini dalam capaian usahawan Bumiputera

Cadangan kerajaan membuka ruang kepada peniaga Bumiputera berniaga di pusat beli belah terkemuka disambut baik banyak pihak.

Peluang berniaga di pusat beli-belah terkemuka adalah impian semua usahawan namun dikekang sewa yang tinggi.
PETALING JAYA:
Setelah sekian lama menghadapi pelbagai kekangan, usahawan Bumiputera kini terbela dalam meraih peluang berniaga di pusat-pusat membeli-belah dan lokasi tumpuan pelancongan di seluruh negara.

Komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan kuota premis perniagaan untuk usahawan Bumiputera di pusat membeli-belah membuka lembaran baharu bagi menjamin masa depan mereka.

Ilham Ismail itu berpotensi mengangkat peniaga Bumiputera ke tahap keusahawanan lebih tinggi bagi membuka ruang bersaing dengan komuniti perniagaan lain.

Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (Wena), menyifatkan cadangan perdana menteri itu yang mensasarkan pusat membeli belah milik syarikat kaitan kerajaan (GLC) sebagai amat mengujakan.

Pengerusinya, Nuraizah Shamsul Baharin yakin program yang bakal dilaksanakan itu akan diiringi dengan pelan tindakan jitu bagi memastikan peniaga Bumiputera mempunyai ketahanan dan keupayaan bersaing dengan peniaga lain di pusat membeli belah berkenaan.

“Apa yang mungkin kita (usahawan) boleh buat adalah masuk (pusat membeli belah) secara konsortium,” katanya kepada FMT.

Ramai usahawan Bumiputera memiliki produk baik dan mampu berjaya jika diberi peluang.

Beliau berkata pendekatan konsortium boleh meringankan kos perniagaan seperti sewa dan sekaligus membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan.

Cadangan perdana menteri yang diumumkan pada 18 Nov lalu selepas mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) akan meneliti kemungkinan pusat membeli belah dimiliki GLC diuruskan syarikat tempatan.

Ini akan memudahkan usaha membantu usahawan Bumiputera membuka perniagaan berdaya saing di lokasi-lokasi strategik.

Maznah Ariffin yang mengendalikan program latihan Institut Keusahawanan Negara (Insken) berkata peluang berniaga di pusat membeli belah terkemuka adalah impian semua usahawan Bumiputera.

Namun mereka dikekang sewa tinggi yang secara langsung turut memberi kesan kepada keupayaan bersaing dengan peniaga lain.

FMT dimaklumkan sewa ruang berniaga di medan makan pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan.

Maznah berkata kesediaan kerajaan membantu meringankan beban sewa di premis berkenaan akan banyak membantu peniaga Bumiputera.

“Tak ada sebab kenapa mereka tak boleh bersaing sebab kerajaan sekarang banyak beri bantuan. Usahawan Bumiputera pun memang ada yang boleh bersaing dari segi jenama, pembungkusan,” kata beliau.

“Dengan peluang terbaharu ini (yang diumumkan oleh perdana menteri), mereka boleh bersaing dengan peniaga lain di pusat membeli belah popular,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan, berkata usaha kerajaan merintis jalan untuk usahawan Bumiputera berniaga di pusat membeli belah perniagaan premium amat dinantikan.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan perlu memperkasakan segmen pembeli dan pengguna Bumiputera untuk menjamin kelangsungan peniaga Bumiputera.

“Kita kena belajar dengan kaum Cina dan India, mereka sokong komuniti mereka habis-habisan. Tak ada jalan lain.

“Kita kena kaji balik perkara asas. Pupuk orang kita sokong usahawan kita walaupun ia makan masa bertahun-tahun,” katanya.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan & Profesyen Malaysia (Peniagawati), Azlin Ahmad Shahrbi, berkata ramai usahawan Bumiputera memiliki produk baik dan mampu berjaya jika diberi peluang berniaga di pusat membeli belah terkemuka.

“Produk seperti Telekung Siti Khadijah antara bukti Bumiputera memiliki produk yang baik dan boleh dibawa masuk ke pusat beli belah premium.

“Jika dapat peluang daripada kerajaan, jenama ini akan pergi lebih jauh dan akhirnya akan memberi manfaat ekonomi kepada negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.