ADUN Sabah gesa PH gugurkan cadangan MoU dengan GRS

ADUN Sabah gesa PH gugurkan cadangan MoU dengan GRS

SF:ADUN Sri Tanjong Justin Wong berkata SRA itu adalah sama dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan.

Tidak ada guna mengadakan SRA apabila wujudnya kestabilan politik di Sabah ketika ini, menurut Justin Wong.
KOTA KINABALU:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP meminta Pakatan Harapan (PH) negeri menggugurkan cadangan Agenda Pembaharuan Sabah (SRA) kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.

Wakil Sri Tanjong Justin Wong berkata SRA itu adalah sama dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh gabungan pembangkang dengan kerajaan persekutuan pada September lalu.

Katanya, beliau bimbang PH Sabah akan hilang sokongan rakyat sekiranya ia meneruskan SRA dengan GRS.

“Satu-satunya perbezaan antara SRA dan MoU ialah yang sebelum itu adalah kurang formal,” katanya kepada FMT.

“Tidak ada gunanya untuk mengadakan SRA apabila wujudnya kestabilan politik di Sabah ketika ini. Jika kita menandatanganinya, kita terpaksa menjelaskan kepada rakyat mengapa kita melakukannya dan ia mengambil banyak masa.”

Wong berkata situasi di Sabah tidak sama seperti di Semenanjung apabila MoU itu dimeterai disebabkan blok kerajaan mempunyai majoriti kerusi yang tipis dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memerlukan sokongan daripada PH untuk mengekalkan kestabilan politik.

Wong tidak terbabit dalam kumpulan pemimpin PH Sabah yang mengemukakan tujuh perkara SRA kepada Ketua Menteri Hajiji Noor pada 15 Nov.

SRA itu antara lain mencadangkan beberapa pembaharuan politik dan tadbir urus, usaha menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan pelan pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

Penganalisis memberi alasan bahawa kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini juga mungkin mempunyai kaitan dengan MoU yang ditandatangani dengan Putrajaya, selain beberapa faktor lain.

Mereka berkata pembangkang di Sabah mungkin berdepan cabaran sama sekiranya GRS menerima cadangan SRA itu.

Pemerhati berkata intipati SRA, walaupun untuk disesuaikan dengan keperluan dan isu negeri, adalah sama dengan MoU di peringkat persekutuan yang diadakan untuk mencari titik persamaan untuk bekerjasama dan mewujudkan kestabilan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.