3.78 juta kenderaan tak perbaharui cukai jalan

3.78 juta kenderaan tak perbaharui cukai jalan

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ mengingatkan pemilik LKM mempunyai tempoh hingga 31 Dis ini untuk memperbaharuinya.

Pemilik kenderaan diingatkan tidak memperbaharui cukai jalan di saat akhir bagi mengelak kesesakan di kaunter cawangan JPJ yang turut dibuka pada hujung minggu hingga 31 Dis ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 3.78 juta kenderaan di seluruh negara dikesan tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) hingga 16 Nov lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, pemilik LKM diberi tempoh hingga 31 Dis ini untuk memperbaharuinya.

Beliau berkata, pemilik diingatkan tidak memperbaharui LKM di saat akhir bagi mengelak kesesakan di kaunter cawangan JPJ yang turut dibuka pada hujung minggu hingga 31 Dis ini.

“Pengguna boleh datang ke mana-mana kaunter cawangan JPJ, senarai waktu boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi JPJ,” katanya selepas operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi tengah malam tadi.

Aedy Fadly berkata, LKM juga boleh diperbaharui secara dalam talian, jika pemilik tidak mahu bersesak di kaunter JPJ.

“Buat masa sekarang, kami beri peluang untuk mereka perbaharui LKM dan selepas 31 Dis, tiada lagi arahan daripada kerajaan untuk menyambung moratorium dan sebagainya.

“JPJ memang menjangkakan berlaku serbuan pada saat-saat akhir kerana situasi itu adalah perkara biasa yang berlaku setiap kali tarikh akhir semakin dekat. Serbuan luar jangka orang awam itu nanti bukan sahaja akan berlaku di pejabat JPJ, malah juga berlaku di pejabat pos,” katanya.

September lalu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, tempoh moratorium lanjutan pembaharuan LKM dilanjutkan hingga 31 Dis ini dan pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan dilindungi insurans sah serta menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Mengenai operasi bersepadu itu, Aedy Fadly berkata, pihaknya memeriksa 3,210 kenderaan dan mengeluarkan 596 notis atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tujuan operasi bersepadu diadakan adalah untuk mendidik dan menasihati pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta peraturan di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.