
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tujuh negara itu adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
Beliau berkata, rakyat Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang dari negara terbabit dikehendaki menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.
“Selain itu, sampel akan diambil daripada individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jelasnya, setakat ini tiga negara melaporkan kes berkaitan varian baharu itu, iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).
Kes pertama dilaporkan di negara Botswana pada 11 November 2021, manakala negara Afrika Selatan pada 14 November 2021 dan Hong Kong pada 25 November 2021.
Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.
Menurut laporan, Khairy berkata, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi “spike protein”, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.
“Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation – WHO) masih lagi membuat pemantauan.
“Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai ‘Variant Under Monitoring’ (VUM), ” katanya.