Soal kasta, hadiah dhoti, sari dan komputer riba ‘warnai’ pemilihan MIC

Soal kasta, hadiah dhoti, sari dan komputer riba ‘warnai’ pemilihan MIC

Hari ini, 24,000 perwakilan dijangka akan memilih tiga Naib Presiden dan 21 ahli jawatankuasa pusat.

Presiden MIC SA Vigneswaran (kanan) bersama timbalannya, M Saravanan, yang dapat mengekalkan jawatannya tanpa bertanding pada 19 Nov.
PETALING JAYA:
Dengan majlis makan malam gala dan perhimpunan besar dilarang sebelum pemilihan MIC, 66 calon untuk jawatan tertinggi parti itu menggunakan pelbagai cara lain untuk menarik minat perwakilan, termasuk memberikan hadiah dhoti dan blaus sari.

Menurut sumber, seorang calon Naib Presiden bagi penggal 2021-2024 dikatakan menjanjikan RM1,000 kepada setiap 140 bahagian, manakala yang lain menawarkan separuh daripada jumlah itu.

“Ini adalah tambahan kepada komputer riba yang dijanjikan kepada setiap ketua bahagian,” katanya.

“Malah seorang calon menghantar kek kepada semua pengerusi bahagian, yang biasanya mempunyai pengaruh kuat atas undi perwakilan.

“Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 menyukarkan kempen secara langsung seperti dahulu. Calon-calon lazimnya mengadakan parti mewah. Kali ini, ia dilakukan terutamanya melalui media sosial. Ada hadiah wang tunai dan penghantaran hadiah dalam talian.”

Pemilihan akan diadakan hari ini dari 4 petang hingga 7 malam. Dianggarkan 24,000 perwakilan akan mengundi dalam saingan enam penjuru untuk tiga jawatan Naib Presiden. Sejumlah 60 calon pula bertanding untuk merebut 21 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Di samping itu, perwakilan akan memilih 10 ahli jawatankuasa bagi setiap negeri dan Presiden parti kemudian akan melantik pengerusi negeri.

Tiga penyandang Naib Presiden yang akan mempertahankan jawatan mereka adalah T Mohan, C Sivarraajh dan T Murugiah. Mereka dicabar Setiausaha Agung semasa M Asojan, Setiausaha Eksekutif AK Ramalingam dan Ketua Penerangan V Gunalan.

Penyandang jawatan Presiden, SA Vigneswaran kekal tanpa bertanding apabila pencalonan dibuka untuk jawatan tertinggi itu pada September, sama juga seperti jawatan Timbalan Presiden pada 19 Nov ketika pencalonan ditutup.

Ketua parti itu memberi amaran kepada calon agar tidak menggunakan isu kasta semasa meraih undi, tetapi seorang pemimpin berkata, ramai yang tidak mematuhinya menerusi mesej WhatsApp peribadi.

“Ini dijangka akan mempengaruhi keputusan bagi calon tertentu,” kata pemimpin itu.

Satu lagi sumber berkata, Presiden parti mempunyai senarai pemimpin tertinggi pilihannya dan kebanyakannya dijangka berjaya.

Katanya, Presiden malah memberitahu salah seorang penyokong kuatnya untuk memenangi kerusi jawatankuasa negeri supaya beliau boleh dilantik sebagai pengerusi negeri bagi mengukuhkan pegangannya ke atas parti.

Keputusan dijangka diumumkan selepas jam 10 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.