Lanjutkan lagi waktu operasi industri binaan, Selangor digesa

Lanjutkan lagi waktu operasi industri binaan, Selangor digesa

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia berkata ini bagi membolehkan industri pembinaan menebus masa yang hilang akibat sekatan dilaksanakan ketika pandemik.

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia mahu waktu bekerja untuk industri pembinaan dilanjutkan dua jam bagi menebus masa yang hilang akibat sekatan pergerakan ketika pandemik.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor digesa melanjutkan waktu operasi sektor pembinaan untuk membantu industri itu menebus semula masa yang hilang akibat sekatan yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) memuji keputusan kerajaan negeri menyeragamkan waktu operasi industri itu dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu.

Bagaimanapun, Presidennya Sufri Mhd Zin berkata, kontraktor perlu bekerja lebih lama bagi menebus masa yang hilang akibat pelbagai sekatan pergerakan yang dilaksanakan.

“Berdasarkan pemerhatian kami, industri itu secara amnya terhenti sepenuhnya selama sekurang-kurangnya 199 hari. Selain itu, 380 hari turut direkodkan sebagai produktiviti lebih rendah di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sufri berkata, selepas industri binaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya mulai 18 Oktober di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kebanyakan tapak binaan memaksimumkan kapasiti pengoperasian untuk menebus masa yang hilang.

“Ini bagi memastikan projek dilengkapkan mengikut tempoh seperti dalam kontrak,” katanya.

“Jadi MBAM ingin mencadangkan kerajaan Selangor mempertimbangkan melanjutkan waktu operasi pembinaan selama dua jam, iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Jumaat.

“Prosedur harian untuk menyaring suhu dan mendaftar MySejahtera sebelum pekerja dibenarkan masuk ke tapak binaan sebenarnya memakan masa.”

Beliau juga berharap kerajaan negeri lain akan bertindak sama untuk membolehkan sektor itu pulih.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata, waktu operasi tapak binaan akan diselaraskan untuk memudahkan proses kerja pembinaan, selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi mengikut Fasa 4 PPN.

Katanya, mana-mana kerja pembinaan yang dilaksanakan di luar ketetapan waktu dibenarkan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.