Hak Bersatu letak calon, GPS kekal tanding semua 82 kerusi, kata Abang Jo

Hak Bersatu letak calon, GPS kekal tanding semua 82 kerusi, kata Abang Jo

Pengerusi GPS itu berkata, beliau perlu meneliti jemputan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Gabungan Parti Sarawak belum menerima sebarang jemputan daripada Bersatu bagi membincangkan PRN Sarawak. (Gambar Bernama)
BETONG:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum menerima sebarang jemputan daripada Bersatu bagi membincangkan pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak.

Pengerusi GPS, Abang Johari Openg berkata, beliau perlu meneliti jemputan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya tidak tahu (mengenai perbincangan itu). Kita tengoklah nanti, jika ada jemputan, apa tujuan perbincangan itu,” katanya selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kabong.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata, Bersatu akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen Perikatan Nasional dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Ditanya jika Bersatu meletakkan calonnya pada PRN Sarawak, Abang Johari berkata, itu hak mereka, namun GPS kekal dengan keputusan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Biarlah mereka (Bersatu) tetapi kita (GPS) tetap dengan keputusan kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis, pengundian awal 14 Dis dan pengundian 18 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.