Covid-19: Labuan kembali jadi zon merah

Covid-19: Labuan kembali jadi zon merah

Sebanyak 159 kes direkodkan dengan dua kluster aktif melibatkan sebuah bistro dan komuniti tempatan.

Labuan berhadapan turun naik kes positif Covid-19 yang kebanyakannya disumbang oleh pengembara dan aktiviti perhimpunan sosial, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Labuan merekodkan 159 kes Covid-19 dengan dua kluster aktif, sekali gus menukar status pulau bebas cukai intu kepada zon merah berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, dua kluster aktif itu adalah kluster Jalan Jati melibatkan sebuah bistro dan kluster Bukit Kuda yang membabitkan sekumpulan komuniti tempatan.

“Kluster Jalan Jati dicetuskan oleh sekumpulan pelanggan premis makanan dan minuman (F&B) di Jalan Jati di pusat bandar, yang dahulunya sebuah premis hiburan sebelum dijadikan bistro.

“Kluster tersebut muncul pada 21 Nov dan kluster ini menular dengan pantas dan menyebabkan lebih banyak jangkitan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ismuni berkata, kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun adalah antara individu yang dijangkiti menerusi kluster tersebut.

“Sekurang-kurangnya 18 kes telah disahkan menerusi ujian reaksi berantai polimerase (PCR) dalam kluster tersebut. Kita telah menganalisis kadar jangkitan kluster ini yang didapati tinggi,” katanya.

Sementara itu katanya, kluster Bukit Kuda mula dikesan pada 19 Nov selepas satu keluarga mengadakan majlis pertunangan.

“Kluster berkenaan masih aktif dengan pertambahan bilangan kes positif,” katanya.

Ismuni berkata, satu subzon merekodkan 10 kes positif, zon dua (22), zon tiga (19), zon empat (32) dan subzon lima dengan 29 kes.

Beliau berkata, dua pesakit (seorang daripadanya kanak-kanak) berada dalam Kategori 4 dan 5. Kedua-dua pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Labuan sedang berhadapan dengan turun naik kes positif yang kebanyakan disumbangkan oleh pengembara dan aktiviti perhimpunan sosial,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.