
Mangsa Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita pada 9.50 pagi memaklumkan berlaku pergaduhan di pasar itu.
Katanya, saksi yang juga pemilik gerai di tempat kejadian memaklumkan, seorang lelaki tiba dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari kira-kira 7 pagi bertanyakan mangsa.
“Kira-kira 9 pagi, mangsa tiba seorang diri dan duduk di kerusi bawah khemah depan kedai sebelum memesan minuman. Setengah jam kemudian datang seorang lagi lelaki dan terus berjumpa mangsa. Lelaki itu kemudian beredar namun datang semula dengan bapa saudaranya itu berjumpa mangsa.
“Kemudian, tercetus pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Kedua-dua suspek berjaya memegang mangsa,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Mior berkata, tidak lama kemudian datang seorang lagi lelaki yang juga bapa kepada salah seorang suspek di situ yang turut memegang mangsa.
“Suspek yang baru tiba itu memaut leher mangsa dari belakang sementara anaknya duduk atas belakang mangsa yang ketika itu dalam keadaan meniarap. Suspek memaut leher mangsa hampir 15 minit sehingga lemah.
“Tidak lama kemudian, kawan mangsa datang dan suspek melepaskannya, ketika itu mangsa sudah tidak bergerak,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, punca kejadian dikatakan mangsa mencuri pembesar suara mudah alih di warung milik salah seorang suspek.
“Mangsa yang berada di tempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehingga berlaku pergaduhan. Mangsa juga dikatakan agak kurang siuman,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.