Ahli perniagaan bebas tuduhan menipu, ubah wang haram babit RM5 juta

Ahli perniagaan bebas tuduhan menipu, ubah wang haram babit RM5 juta

Bekas broker hartanah, Chandra Subramaniam dituduh melakukan kesalahan itu antara 15 Feb 2014 dan 24 Jun 2015.

Hakim Sabariah Othman berkata, terdapat jurang dalam kes pendakwaan dan dokumen yang mencukupi tidak dikemukakan untuk pertimbangan mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan seorang bekas broker hartanah yang didakwa atas 17 tuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan menipu membabitkan kira-kira RM5 juta.

Ketika menyampaikan keputusannya tidak memanggil pembelaan bagi tertuduh Chandra Subramaniam, hakim Sabariah Othman berkata, terdapat jurang dalam kes pendakwaan dan dokumen yang mencukupi tidak dikemukakan untuk pertimbangan mahkamah.

“Saksi material tidak dipanggil untuk membuktikan kes prima facie. Sebaliknya, keterangan saksi (Amran Ahmad) juga tidak boleh dipercayai,” katanya.

Pihak pendakwaan memanggil 38 saksi untuk memberi keterangan.

Dua tahun lalu, Chandra, 45, didakwa atas tiga tuduhan menipu membabitkan kira-kira RM1.5 juta dengan memperdaya Malaysian Building Society Bhd (MBSB) di ibu pejabatnya dan AmIslamic Bank di cawangan Bandar Permaisuri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Feb 2014 dan 24 Jun 2015.

Dia juga didakwa menerima kira-kira RM5 juta, dipercayai hasil aktiviti haram membabitkan beberapa individu termasuk Amran yang menjadi saksi pendakwaan.

Jumlah terbabit termasuk RM1.5 juta yang didakwa diseleweng Chandra.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Shu Min, manakala Muniandy Vestanthan, A Ashok dan Fiona Aurelia Culas mewakili Chandra.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.