Semua caruman KWSP ke Akaun 1 untuk tambah simpanan

Semua caruman KWSP ke Akaun 1 untuk tambah simpanan

Pecahan caruman akan kembali kepada 70% bagi Akaun 1 dan 30% untuk Akaun 2, selepas jumlah wang yang dikeluarkan itu diganti semua sepenuhnya.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, simpanan berjumlah RM101 bilion dikeluarkan oleh pencarum KWSP menerusi skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
KUALA LUMPUR:
Semua caruman daripada ahli yang mengeluarkan simpanan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, akan dikreditkan ke Akaun 1 sepenuhnya sehingga jumlah wang yang dikeluarkan itu diganti semula.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, simpanan berjumlah RM101 bilion dikeluarkan oleh ahli KWSP menerusi tiga kemudahan pengeluaran itu.

“Majoriti ahli dijangka tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung pengeluaran ketika persaraan kelak.

“Oleh itu, dalam usaha tambah baik simpanan ahli yang telah keluarkan simpanan dari Akaun 1, kerajaan tetapkan caruman baharu yang diterima daripada ahli terlibat akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya sehingga keseluruhan amaun yang diambil dari Akaun 1 diganti semula,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) berhubung tindakan kerajaan meningkatkan simpanan persaraan pencarum KWSP selepas sejumlah besar wang dikeluarkan daripada tabung persaraan itu.

Shahar berkata, selepas jumlah wang yang dikeluarkan itu diganti semula sepenuhnya dalam Akaun 1, pecahan caruman akan kembali kepada 70% bagi Akaun 1 dan 30% untuk Akaun 2.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) pula bertanyakan kesan pulangan pelaburan strategik KWSP dan unjuran dividen kepada pencarum susulan pengeluaran besar itu.

Shahar berkata, kemudahan pengeluaran itu tidak menjejaskan pengumuman dividen 2021 yang akan diumumkan tahun depan, malah pasaran kewangan domestik juga tidak terjejas kerana KWSP merupakan pemain terbesar dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Jadi, perkara itu tidak menjadi satu kesan negatif kepada pelaburan MGS, tetapi kaedah yang kita gunakan adalah SAA, iaitu peruntukan aset strategik yang kita lakukan bagi menampung segala pengeluaran sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.