
Dalam kenyataan, MPN PKR Sabah berkata, mereka memandang serius kenyataan ADUN Bilut, Lee Chin Chen dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe yang disifatkan sebagai tidak matang.
Sebelum ini, Lee dilaporkan menggesa Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang susulan kekalahan PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu, manakala Phoong turut mencadangkan kepimpinan PH ditukar.
“Merujuk kenyataan dikeluarkan ADUN Bilut, Lee Chin Chen dan Setiausaha baru DAP Sabah yang juga ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, MPN Sabah memandang serius terhadap kenyataan mereka kerana ia menjurus kepada serangan secara Anwar dan kesepakatan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Kenyataan dua ADUN DAP ini yang menyalahkan Anwar dan meminta untuk berundur selepas keputusan PRN Melaka menunjukkan ketidakmatangan yang boleh menyebabkan PH yang dibina dengan aspirasi harapan rakyat semakin terbuka kepada perdebatan awam,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, PH sepatutnya membuat “post mortem” mengenai prestasi di PRN Melaka dan sebarang cadangan dan keputusan dasar perlu dibuat secara bersama seperti yang menjadi budaya keluarga PH
Jelasnya lagi, kenyataan dibuat dua ADUN DAP itu seolah-olah menafikan sumbangan besar logo PKR yang digunakan pada PRU14 yang memberi lonjakan kerusi kepada DAP di Melaka daripada enam kerusi pada PRN13 kepada lapan kerusi pada PRN14.
“Kemerosotan kerusi DAP kepada hanya empat pada PRN Melaka dengan menggunakan logo PH, baru-baru ini, menunjukkan setiap parti perlu membuat ‘post mortem’ masing-masing sebelum diangkat ke mesyuarat PH dan keputusan dasar terakhir dibuat oleh Majlis Presiden.
“Kritikan terbuka kepada pimpinan tidak akan menyelesaikan masalah namun akan mengheret PH di ambang perpecahan dan seterusnya merugikan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.