
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan Hasnol, 50, meninggal dunia pada 10.58 malam waktu Seattle, Washington (2.58 petang Ahad waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri ketika menghadiri program ‘Airman to Airman Talks (A2ATs)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula pada 14 hingga 19 Nov.
“Pada 16 Nov, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat ‘acute type of aortic dissection’.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan dan isterinya, Rohani Tahir turut berada di sisinya ketika saat akhir beliau,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, jenazah Hasnol yang juga merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) akan dikebumikan dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington pada 24 Nov, 6.30 pagi waktu Malaysia.
Pengurusan jenazah akan dilaksanakan House of Mercy dan warga Muslim Malaysia yang diketuai Ayub S Laari, yang turut mengimamkan solat jenazah.
“Bagi urusan pengebumian, pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jen Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoordinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pegawai TUDM.
“Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat Brigedier Jen Mohd Fadzil Mohd Diah telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad dan seluruh warga TUDM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan pengebumian jenazah Hasnol Hisham.