Kerajaan digesa guna semula nama NURIN bagi talian penting kanak-kanak hilang

Kerajaan digesa guna semula nama NURIN bagi talian penting kanak-kanak hilang

Ananti Rajasingam berkata, beliau rasa Nurin layak menerima penghormatan itu, manakala menurut Hannah Yeoh, nama itu bercakap untuk dirinya sendiri.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Jazimin Abdul Jalil merayu agar nama asal talian penting itu dikembalikan supaya orang ramai ingat apa yang berlaku ke atas anaknya, Nurin Jazlin.
PETALING JAYA:
Pada 2007, satu talian penting untuk kanak-kanak hilang diwujudkan selepas kejadian penculikan, rogol dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Ia diberi nama Talian NURIN (Rangkaian Maklumat Tindak Balas Segera Kebangsaan). Bagaimanapun, tidak lama kemudian, namanya ditukar kepada NUR (Tindak Balas Segera Seluruh Negara).

Seorang aktivis kini meminta kerajaan mengembalikan nama asal talian tersebut.

Ananti Rajasingam, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Chow Kit, sebuah pusat untuk kanak-kanak dan remaja berisiko berkata, beliau percaya Nurin layak menerima penghormatan itu.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil berkata, beliau tidak setuju nama talian tersebut ditukar dan merayu agar nama asalnya dikembalikan supaya orang ramai ingat insiden yang berlaku ke atas anaknya.

Ananti berkata, beliau faham perasaan Jazimin.

“Saya rasa menukar (nama) talian daripada Talian NUR kepada NURIN boleh membawa perubahan. Ia akan mengingatkan kita bahawa Nurin masih penting,” katanya.

Hannah Yeoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkata, kepentingan nama dalam kes serupa dengan Nurin boleh meningkatkan kesedaran.

“Nama itu bercakap untuk dirinya sendiri,” katanya.

“Ia mungkin bukan idea yang buruk kerana ramai yang mengingati Nurin sebagai kanak-kanak yang hilang.”

Pada Ogos 2007, Nurin diculik di luar rumah sewa keluarganya di Wangsa Maju. Mayatnya yang disumbat ke dalam sebuah beg dijumpai 28 hari kemudian di depan sebuah kedai di Petaling Jaya. Kanak-kanak malang itu telah dirogol dan dibunuh.

Sehingga kini, pelaku yang bertanggungjawab melakukannya masih tidak dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.