
Sheryll Stothard, pembantu kepada keluarga Amri, seorang aktivis dari Perlis berkata, kerajaan enggan menyediakan laporan itu, dengan mendakwa bahawa penerbitannya akan bercanggah dengan “kepentingan negara”.
Beliau berkata, semasa pendengaran kes tuntutan mahkamah pada 25 Mei lepas, peguam isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, memfailkan permintaan penzahiran agar salinan laporan itu disediakan buat mahkamah.
“Pada September, dalam afidavit balas, kerajaan enggan menyediakan laporan itu atas alasan ia diklasifikasikan sebagai ‘rahsia’ bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Stothard berkata, pasukan perundangan Norhayati sedang mempertimbangkan semua pilihan untuk memastikan laporan itu tidak disembunyikan.
Surendra Ananth, juga peguam Norhayati, berkata beliau tidak percaya ada alasan yang sah atau munasabah untuk mengklasifikasikan laporan itu sebagai “rahsia”.
“Kami turut memfailkan permohonan penzahiran lebih awal bagi prosedur operasi standard (SOP) polis berhubung kes penculikan, yang ditentang kerajaan.
“Mahkamah menolak permohonan kami. Kami telah memfailkan rayuan terhadap keputusan ini di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Pada 2019, siasatan awam mengenai kehilangan Amri oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencapai kesimpulan bahawa Amri adalah mangsa hilang secara paksa.
Sebagai respons, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti kesimpulan SUHAKAM, dan ia diberi masa enam bulan untuk menyiapkan laporannya.
Sejak itu, KDN mahupun pasukan petugas tidak mengeluarkan laporan itu, walaupun berkali-kali didesak pelbagai pihak, termasuk SUHAKAM dan NGO lain, untuk berbuat demikian.