
“Parti kami untuk seluruh rakyat Malaysia. PBM adalah parti yang berbilang bangsa dan kita ingin memperjuangkan konsep kesederhanaan. Kita berhasrat melakukan pembaharuan dan apa yang betul untuk negara,” kata Sukri.
Katanya, naratif daripada parti berasaskan kaum dan gabungan daripada parti berasaskan kaum perlu diubah kepada parti yang berbilang bangsa.
“PBM berharap dapat menjadi pencetus dalam membawa kesedaran politik di Malaysia,” katanya.
Timbalan Presiden PBM Larry Sng memberitahu FMT bahawa semua urusan parti yang dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) adalah teratur dan ia kini hanya menunggu masa untuk diselesaikan.
Ahli Parlimen Julau itu berkata, pada 27 Okt, nama SWP ditukar kepada PBM dan perlembagaan parti baharu itu telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Ia mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 Nov dan barisan baharu kepimpinan telah dilantik.
Barisan baharu itu termasuk Naib Presiden Kanan yang juga Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong serta Ahli Majlis Tertinggi Engga Unchat dan Lavenia Mawas.
Engga dan Lavenia sebelum ini adalah pemimpin dalam SWP.
Sng berkata, parti itu telah menangani “isu kecil” apabila seseorang yang mendakwa dirinya sebagai Engga dikatakan mendapatkan nasihat RoS untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk SWP selepas PBM menerima kelulusan diperlukan daripada RoS.
“Kami mendapat pertanyaan mengenai emel yang dikatakan dihantar oleh Engga. Kami tahu, sudah tentu ia palsu,” kata Sng.
Susulan perkara itu, Engga telah menandatangani akuan berkanun (SD) bahawa beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam SWP.
“Saya tidak pernah menulis apa-apa surat kepada RoS untuk mengadakan AGM. Saya adalah ahli PBM, malah sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk ke pejabat RoS dan menafikan dakwaan dibuat oleh individu yang menyamar itu (yang berhubung dengan RoS),” kata Engga.
Beberapa Ahli Parlimen Bebas dan mereka yang tidak berpuas hati dengan parti sedia ada dijangka menyatakan sokongan terhadap PBM.