
“Biarlah SPRM menjalankan siasatan yang sebenarnya dan ia bukan melibatkan isu syarikat dan NGO sahaja, tetapi juga melihat bagaimana proses kelulusan diberikan,” kata Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan dua Ahli Parlimen pembangkang berhubung sebab kementeriannya tidak menjalankan siasatan dalaman mengenai isu itu.
Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bertanya jika siasatan dalaman akan dijalankan dan mengapa tidak dilakukan bersama siasatan SPRM supaya pihak terbabit akan dikenakan tindakan sewajarnya.
M Kulasegaran (PH-Ipoh-Barat) bertanya mengapa menteri tidak mengarahkan siasatan dalam serta-merta memandangkan menteri mempunyai kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa.
Mengulas lanjut, Halimah menafikan kementeriannya cuba berselindung di sebalik siasatan SPRM.
“Kita telus dan terbuka, saya tak berselindung di sebalik SPRM.
“Kalau ada kenyataan mengatakan kementerian sengaja berselindung di sebaliknya atau mahu menutup perkara tertentu daripada pengetahuan umum, itu tak tepat.
“Saya telah menjemput SPRM untuk masuk jalankan siasatan, bukan kerana YB (pembangkang) bangkitkan isu MITRA baru SPRM masuk.”
Katanya, beliau tidak dipanggil SPRM untuk membantu siasatan mereka.
Minggu lalu, Halimah dan Ahli Parlimen pembangkang berperang mulut berhubung penyalahgunaan dana MITRA selepas menteri itu berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butirannya kerana siasatan SPRM masih diteruskan.
Semalam, SPRM dilaporkan berkata, ia hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran MITRA, sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi dicadangkan pertuduhan terhadap syarikat terbabit.