
Ginie menerusi status dimuatnaik di laman Facebooknya berkata, aktiviti pengedaran pelitup muka kepada orang awam adalah program berkala Pusat Khidmat DUN Machap Jaya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam menjauhi jangkitan Covid 19.
“Program itu turut dihadiri bekas Ketua Menteri Adly Zahari dan Tian Chua. Saya memberi kerjasama baik dan berharap supaya polis terus memberi fokus menjaga keselamatan awam.
“Mengapa pihak berkuasa hanya panggil saya untuk beri keterangan selepas pilihan raya negeri? Adakah ini satu tindakan menghukum oleh kerajaan baru?” soalnya.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu mengesahkan perkara itu dan memaklumkan polis menyiasat Ginie mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelas beliau, Ginie disiasat mengikut Akta 342 kerana melanggar SOP berkempen. Ginie pernah menjadi ADUN Machap Jaya selepas menang pada pilihan raya umum (PRU) lalu sebelum digugurkan pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Tempat beliau digantikan pendatang baru, Law Bing Haw namun gagal mempertahan kerusi itu apabila ditewaskan kepada calon BN dari MCA Ngwe Hee Sem dengan majoriti 938 undi.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan SOP berkaitan Covid-19 dipinda bagi melarang semua perhimpunan fizikal dan acara sosial berkaitan pilihan raya negeri yang berlangsung dari 25 Okt hingga 27 Nov.
Kementerian Kesihatan juga memberi amaran bahawa kempen secara berselindung juga boleh dikenakan tindakan.