
Geoffrey Williams daripada Malaysian University of Science and Technology (MUST), berkata individu yang memilih bekerja lebih lama semata-mata ingin menyimpan wang ketika persaraan berkemungkinan tidak mampu mencapai sasaran dikehendaki, sebaliknya usaha berkenaan tidak akan “menambah apa-apa” terhadap pendapatan persaraan mereka.
Beliau berkata, program UBP akan menyediakan pendapatan “asas dan berpatutan” bagi kumpulan warga emas yang bekerja mahupun tidak.
Bercakap pada Konvensyen Antarabangsa Kebajikan Sosial 2021, dianjurkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KESP), hari ini, Williams berkata, pelaksanaan program berkenaan secara sederhana hanya membabitkan kos serendah 0.7% perbelanjaan kerajaan.
“Penyelesaian radikal membiayai dana UBP adalah melaburkan dana pencen kerajaan bernilai RM1.2 trilion.
“Pulangan 5% akan memberi tambahan pendapatan RM60 bilion, yang mana mampu menampung pencen sara hidup bagi 70% pesara,” katanya.
Katanya, skim terbabit boleh dijayakan di negara ini dengan syarat ia dilakukan secara terbuka, telus dan cekap, termasuk tadbir urus tertinggi dalam melaksanakannya.
Sebelum ini, KWSP berkata, kira-kira 6.1 juta pencarum kini sekadar mempunyai kurang RM10,000 dalam simpanan persaraan.
Dalam pada itu, ahli perniagaan, Anas Zubedy, mencadangkan kerajaan melaksanakan tindakan afirmatif bersasar terhadap golongan paling terkesan dalam masyarakat tanpa mengira kaum.
“Walaupun tindakan afirmatif bagi Bumiputera perlu berterusan, perlu ada peruntukan dalam keseluruhan proses itu bermula ‘dari rumah ke sekolah ke kerjaya’, justeru kita mampu mengurangkan kemiskinan dalam kalangan bukan Melayu dan masyarakat Orang Asli dalam satu generasi,” katanya.
Katanya, kesemua mereka perlu dianjakkan berada dalam kelas pertengahan menerusi pendidikan dan sokongan, seperti mana yang dilaksanakan kepada Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB).