
Beliau berkata, mekanisme dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama beberapa agensi berkaitan itu rentetan episod kartel daging import pada Disember 2020 yang membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.
Berucap merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 secara maya hari ini, Ismail berkata, pelaksanaan mekanisme itu mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.
“Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan yang mempunyai SPHM di bawah skim logistik kategori pengangkutan.”
Katanya, prosedur mandatori pembungkusan semula yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan turut diwujudkan.
Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai pada Disember lalu, selepas media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
Bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia, Ismail berkata, JAKIM juga sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.
Pangkalan data itu merangkumi enam sistem, iaitu MYeHALAL (domestik), MYeHALAL (antarabangsa), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).
Sebagai contoh katanya, melalui MyIHAB, JAKIM dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara yang diiktiraf JAKIM.
“Insya Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk dari luar negara melalui sistem ini,” katanya.
Ismail yang turut melancarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berkata, JAKIM sedang membangunkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.
Katanya, kedua-dua manual itu bertujuan memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang akan membolehkan pemain industri luar negara memohon pensijilan halal Malaysia secara terus daripada JAKIM.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan.
Katanya, usaha pemerkasaan pensijilan halal Malaysia oleh JAKIM selama ini mendapat pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia dengan penerimaan akreditasi ISO/IEC 17065 pada 10 Okt 2020, sekali gus menjadikan JAKIM badan pensijilan halal pertama dalam negara yang diiktiraf di peringkat global.
“Akreditasi ini memberikan impak bukan sahaja kepada pelbagai produk yang telah dipersijilkan, malah menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik.”
Memetik laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang menjangkakan pasaran halal akan menyumbang 8.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan janaan pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion menjelang 2025, beliau menggesa agensi, kementerian berkaitan dan pemain industri meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.
Pada 2020 sahaja katanya, industri halal menyumbang RM9.7 bilion kepada KDNK negara.
Beliau optimis industri halal berpotensi menjana ekonomi negara, berikutan populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada 2030.
Berdasarkan angka tersebut, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga mencecah ASD680 bilion setahun, katanya.