2 marsyal henti kenderaan awam ditahan polis

2 marsyal henti kenderaan awam ditahan polis

Dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

Tindakan marsyal terbabit dikritik kerana mengganggu pengguna jalan raya lain.
PETALING JAYA:
Dua pengiring atau marsyal motosikal berkuasa tinggi yang menghentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada konvoi motosikal berkenaan untuk melepasi lampu isyarat merah di persimpangan Sua Betong ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki itu yang berusia 26 dan 27 tahun masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

Aidi berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan 12.30 tengah malam dan 2.45 pagi tadi di rumah mereka di kawasan Port Dickson dan Springhill, Lukut.

“Turut dirampas dua motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan mereka ketika menahan kenderaan awam.

“Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Aidi berkata, polis juga sedang mengesan empat lagi individu yang bertindak sebagai marsyal.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan. Polis juga berharap marsyal itu menyerah diri bagi memudahkan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, polis dilaporkan mencari seorang marsyal yang dirakam mengawal lalu lintas dipercayai untuk memberi laluan kepada geng motosikal kuasa tinggi di satu persimpangan lampu isyarat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Individu berkenaan dipaparkan mengawal dan memberhentikan kenderaan awam dalam satu video tular di Facebook.

Aidi berkata, ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tindakan marsyal itu dipercayai bertujuan memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.