
Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, tidak wajar kekalahan itu ditanggung Anwar seorang sedangkan setiap keputusan PH dibuat secara kolektif serta mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti.
Beliau menggesa DAP mengambil maklum kenyataan Lee yang dilihat cuba memecah belahkan semangat perpaduan dan keharmonian PH.
Beliau turut meminta semua pihak dalam PH, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat, menumpukan tenaga dan perancangan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15.
“Semoga saf kepimpinan Majlis Presiden PH terus memelihara disiplin organisasi yang lebih matang dan istiqamah dalam perjuangan serta perlu diingatkan keputusan organisasi adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam kenyataan.
PH hanya menang lima kerusi pada PRN Melaka Sabtu lalu berbanding 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
Terdahulu, Lee menggesa Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baharu dan meneroka hala tuju serta konsensus baharu.
Selain Lee, gesaan sama turut dibuat Naib Presiden Warisan, Junz Wong yang berkata, rakyat bosan dengan tindakan PH berulang kali memungkiri janji dan mereka mahukan pemimpin baharu, manakala penganalisis Wong Chin Huat mencadangkan PKR bergabung dengan Amanah.