Lelaki Bangladesh dalam klip tular Deepavali dipenjara tinggal lebih masa

Lelaki Bangladesh dalam klip tular Deepavali dipenjara tinggal lebih masa

Ketua Polis Johor berkata, lelaki terbabit masih disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia atas klip kontroversi itu.

Miah Akas ditahan di Muar pada awal bulan ini berhubung sebuah video di media sosial berkaitan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki Bangladesh yang ditahan pada 5 Nov lalu kerana membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung perayaan Deepavali dipenjara empat bulan kerana tinggal melebihi tempoh.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Mahkamah Majistret Muar menjatuhkan hukuman itu ke atas Miah Akas, 29, pada 16 Nov lalu di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Beliau memberitahu FMT, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan menggugat keamanan serta ketenteraman awam dengan klip berbaur perkauman itu.

Pada 7 Nov lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, warga Bangladesh itu ditahan di Muar berhubung sebuah video yang dimuat naik ke media sosial berkaitan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.

Dalam klip tular Tik Tok yang dimuat naik dengan akaunnya @Sabbir Hossen, seorang pemuda berjanggut dilihat menghina perayaan itu sebagai syirik.

Beliau berkata, ia adalah sambutan orang kafir dan meminta orang ramai tidak mengikutinya kerana mereka yang meraikan Deepavali tidak sembahyang pada pagi hari, manakala umat Islam akan bersolat dahulu ketika sambutan Hari Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.