Lebih 5,000 doktor kontrak berdemo lagi 8 Dis

Lebih 5,000 doktor kontrak berdemo lagi 8 Dis

Ada doktor kontrak dijangka meletakkan jawatan bermula tarikh berkenaan.

Pada 26 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengadakan demonstrasi berhubung kegagalan kerajaan memenuhi beberapa tuntutan mereka.
PETALING JAYA:
Lebih 5,000 doktor kontrak akan memulakan siri demonstrasi kedua di seluruh negara secara serentak pada 8 Dis, susulan beberapa isu membabitkan kumpulan itu yang belum diselesaikan.

Jurucakap Gerakan Hartal Kontrak, Dr Muhd Yassin berkata, tindakan dilakukan itu bukan perhimpunan menentang kerajaan mahupun gerakan politik, sebaliknya bertujuan mendapatkan keadilan untuk doktor kontrak.

“Perhimpunan secara aman ini akan dilakukan secara serentak di seluruh negara di hospital-hospital yang terdapat doktor kontrak,” katanya menurut laporan Kosmo.

Menurut laporan itu, akan berlaku peletakan jawatan doktor kontrak bermula pada tarikh berkenaan, yang disifatkan sebagai langkah “renjatan” kepada kerajaan.

Muhd berkata, perhimpunan aman itu akan dilakukan ketika waktu rehat doktor kontrak kira-kira 12 tengah hari dan akan berlangsung selama satu jam, sebelum menyambung tugasan seperti biasa.

“Kita hanya ingin meluahkan ketidakpuasan hati dan akan mengutamakan kepentingan pesakit terlebih dahulu selain memastikan ia tidak menjejaskan tugasan di hospital.

“Perhimpunan berkenaan dijangka dilakukan di kawasan parkir, hadapan wad dan lobi hospital. Kita juga akan memastikan peserta menjaga SOP dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Katanya, tujuan perhimpunan itu ialah mendesak supaya kerajaan menunaikan beberapa tuntutan membabitkan doktor kontrak.

“Antaranya melibatkan perjawatan tetap doktor kontrak, hak sama rata dengan doktor tetap dan penjelasan jangka masa panjang berhubung status doktor kontrak.

“Kita juga menjangkakan ramai doktor kontrak akan meletakkan jawatan selepas 8 Dis ini, namun angkanya masih belum diketahui,” katanya.

Pada 26 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengadakan demonstrasi secara serentak berhubung kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.