Kerajaan tak rahsia prestasi kewangan Petronas, kata Tok Pa

Kerajaan tak rahsia prestasi kewangan Petronas, kata Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata segala prestasi kewangan Petronas boleh dimuat turun oleh orang awam di laman web syarikat itu.

Mustapa Mohamed berkata, Petronas turut mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media dan taklimat setiap suku tahun dan sentiasa mengamalkan tadbir korporat yang baik.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menolak dakwaan kononnya Petronas cuba merahsiakan prestasi kewangan dan tidak membentangkannya di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, segala prestasi kewangan syarikat itu boleh dimuat turun oleh orang awam di laman web.

“Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangannya, tapi Petronas membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai perkembangan dan pencapaian syarikat,

“Prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh di akses oleh orang awam walaupun Petronas bukan disenarai di bursa saham,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Mustapa berkata, Petronas turut mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media dan taklimat setiap suku tahun dan ia sentiasa mengamalkan tadbir korporat yang baik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa laporan prestasi kewangan Petronas dirahsiakan dan tidak melaporkan kepada Parlimen sejak dari mula beroperasi sehingga sekarang.

Mengulas pertanyaan Madius, Mustapa berkata, tiada keperluan untuk dibentang di Dewan Rakyat memandangkan ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

“Kenapa (laporannya) tidak dimaklum di Parlimen kerana ia tak diperlukan oleh undang-undang, tak ada akta yang memaksa Petronas bentang di Parlimen.

“Tapi walaupun tidak dibentang di Parlimen bukan bermakna kita tak tahu operasi Petronas, tak dibentang bukan nak rahsia.

“Walaupun Petronas bukan tersenarai di bursa saham tapi Petronas mengambil pendirian untuk memaklumkan prestasinya kepada umum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.