
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu bagaimanapun berkata, perkara berkaitan tuntutan Geran Khas berkenaan masih dalam perbincangan melalui Jawatankuasa Konsultasi Bersama (JCC) yang dipengerusikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Beliau (Zafrul) dijangka bakal mengadakan pertemuan dalam masa terdekat ini bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“Semakan ke atas kewangan serta geran tahunan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan pemulangan 40% pendapatan, dan hasil dikutip daripada Sabah sudah diselesaikan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu tetapi kerajaan negeri masih menolak tawaran terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, formula PH tidak menerangkan bagaimana mereka mendapatkan jumlah itu, seterusnya menyebabkan kerajaan negeri yang memerintah ketika ini menolak tawaran berkenaan.
Malah, katanya Sarawak juga menolak formula berkenaan atas alasan sama. Katanya, Sabah dan Sarawak mahu mengetahui cara formula itu diperolehi, serta bukti jelas sama ada jumlah diterima adalah yang sepatutnya dibayar.
Mengulas lanjut, Maximus menjelaskan kedua-dua negeri itu mahukan suatu formula yang jelas, telus dan selari dengan apa yang sewajarnya dibayar mengikut Perlembagaan Persekutuan.