Batal rayuan keputusan bebas Ku Nan, PH teliti kemungkinan Peguam Negara langgar MoU

Batal rayuan keputusan bebas Ku Nan, PH teliti kemungkinan Peguam Negara langgar MoU

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata keputusan itu mewujudkan persepsi buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara.

Peguam Negara Idrus Harun memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Julai berhubung pembebasan Tengku Adnan Mansor tetapi membatalkannya minggu lalu.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengkritik keputusan Peguam Negara membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Tengku Adnan Mansor dalam kes rasuah RM2 jutanya.

Terkejut dan kecewa, PH berkata, tindakan membatalkan rayuan terhadap Ahli Parlimen Putrajaya itu mewujudkan persepsi buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara.

“Ia malah mencemarkan kredibiliti dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasmi secara profesional.

“PH akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PH dan kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan.

Kata mereka, keputusan Peguam Negara berhubung isu Tengku Adnan itu adalah salah dan mengecewakan.

Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Katanya lagi, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar dan dihakimi sehinggalah segala proses perundangan yang dibenarkan dilalui sepenuhnya.

Katanya lagi, walaupun menyedari bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, kes itu melibatkan pertuduhan berkait unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan seorang bekas menteri persekutuan.

Majlis itu berkata, ia akan terus meneliti tindakan seperti ini dan mempertimbang langkah-langkah yang akan diambil sehingga kedudukannya dipertikaikan dan kewibawaannya tercalar.

“Sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifikasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan,” katanya.

Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan kesalahan Tengku Adnan atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu dengan majoriti 2-1 dengan memutuskan bahawa wang itu adalah sumbangan politik.

Peguam Negara Idrus Harun memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Julai berhubung keputusan itu tetapi membatalkannya minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.