Teh disangka dadah, 2 beranak rakyat Malaysia dipenjara 4 bulan di Australia

Teh disangka dadah, 2 beranak rakyat Malaysia dipenjara 4 bulan di Australia

Pasangan ibu dan anak itu mengimport 25kg teh halia perang yang digunakan bagi meredakan sakit ketika haid.

PETALING JAYA:
Seorang wanita rakyat Malaysia dan anak perempuannya dipenjara empat bulan di Australia semata-mata kerana 25kg teh halia gula perang yang diimport mereka telah disangka sebagai dadah oleh polis.

Dua wanita itu kini menyaman pihak berkuasa Australia bagi menuntut ganti rugi.

Connie Chong Vun Pui dan anakya, Melanie Lim San Yan, membawa masuk teh itu, yang biasanya digunakan bagi meredakan sakit ketika haid di Malaysia, untuk dijual dengan harga lebih tinggi di Sydney.

Menurut majalah Vice, jika semuanya berjalan lancar, mereka mampu memperoleh keuntungan kecil sebanyak AUD90 (RM270).

Malangnya sebaliknya berlaku apabila rumah mereka di barat daya Sydney diserbu oleh polis bersenjata pada Januari.

Serbuan itu susulan rampasan penghantaran teh terbabit di lapangan terbang antarabangsa Sydney oleh pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) yang silap mengenal pasti kandungannya sebagai amfetamin.

Vice melaporkan, kedua-dua wanita itu dipenjarakan tanpa jaminan, walaupun pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai masalah melibatkan ujian bagi mengenal pasti bahan berkenaan selama beberapa minggu dan bulan berikutnya.

Tuduhan terhadap dua beranak itu hanya ditarik balik pada 10 Ogos apabila polis New South Wales menerima analisis forensik mereka sendiri.

Menurut Vice, mahkamah Sydney mendengar bahawa ABF telah menggunakan ujian presumptif “hazmat” untuk mengenal pasti produk yang diimport sebagai “Phenmetrazine”, bahan perangsang terlarang yang lazimnya digunakan untuk tujuan rekreasi.

Bagaimanapun, mahkamah turut mendengar bahawa ujian itu hanya menjana bahan yang mempunyai spektrum serupa dengan Phenmetrazine. Malah ini tidak terhad kepada Phenmetrazine sebaliknya turut merangkumi gula, sukrosa dan gula tepung.

Berikutan itu, seorang penganalisis forensik polis persekutuan menulis surat kepada pegawai utama kes itu, Tara Conaghan, dengan menyuarakan keraguannya terhadap ujian berkenaan.

Conaghan bagaimanapun gagal menyampaikan maklumat itu kepada pasukan pembelaan tertuduh, mahkamah diberitahu.

Ketika memeriksa balas Conaghan, peguam Chong, Steve Boland menyoal kenapa beliau tidak mendedahkan maklumat berkenaan kepada tertuduh lebih awal. Saksi itu menjawab ia kerana dadah itu masih menunggu untuk diuji sepenuhnya.

“Jadi bagaimana? Mereka perlu meringkuk dalam penjara?” tanya Boland. Conaghan bagaimanapun hanya berdiam diri, lapor The Sydney Morning Herald.

Chong dan Lim tidak dibenarkan ikat jamin sehingga Mei dan telah memfailkan saman menuntut kos, yang enggan dibayar oleh Pengarah Pendakwaan Awam Komanwel.

Kes telah ditangguhkan ke Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.