Polis cari ‘marsyal’ kawal lalu lintas untuk geng motosikal kuasa tinggi

Polis cari ‘marsyal’ kawal lalu lintas untuk geng motosikal kuasa tinggi

Peserta konvoi tidak boleh memberhentikan, mengawal, atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa kehadiran polis.

Tindakan ‘marsyal’ itu yang dipaparkan dalam video tular dikritik kerana mengganggu pengguna jalan raya lain.
PETALING JAYA:
Polis mencari seorang ‘marsyal’ yang dirakam mengawal lalu lintas dipercayai untuk memberi laluan kepada geng motosikal kuasa tinggi, di satu persimpangan lampu isyarat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Individu berkenaan dipaparkan mengawal dan memberhentikan kenderaan awam dalam satu video tular di Facebook.

“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat,” kata Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan media.

Katanya, geng motosikal itu bergerak dari Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang.

“Peserta konvoi kenderaan tidak boleh membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sesiapa yang memmiliki maklumat megnenai kejadian berkenaan diminta menghubungi IPD Port Dickson di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222.

Tindakan marshal itu dikritik pengguna media sosial kerana mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.