
Seperti yang berlaku dalam mana-mana pertandingan, terdapat pihak yang menang dan kalah pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, dengan pemenang paling jelas adalah BN. Perikatan Nasional (PN) pula, seperti yang dijangkakan ramai pemerhati, tewas di hampir semua kerusi.
Namun, kejutan terbesar adalah kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH), yang tidak sampai tiga tahun lepas mengambil alih pentadbiran negeri selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
FMT senaraikan parti yang menang dan kalah pada PRN semalam.
Menang: Tok Mat, Najib
Menerajui kempen BN di Melaka adalah Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, atau lebih popular dipanggil Tok Mat, dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Mohamad mengambil langkah berani menampilkan 86% muka baharu dan ia membuahkan hasil yang lumayan. Calon-calon itu bukan sahaja mencapai matlamat, malah turut menyampaikan mesej bahawa Umno terbuka untuk berubah.
Semasa kempen, Najib menarik perhatian orang ramai ke mana sahaja beliau pergi dan memanfaatkan kehadiran media sosialnya sepenuhnya. Serangan terhadapnya berhubung permohonannya pada 2018 untuk mendapatkan harta yang layak dimiliki bekas PM, gagal mempengaruhi pengundi.
Kalah: PAS
Tunggu masa sahaja bagi PAS untuk terpaksa memilih antara sekutu-sekutu mereka yang bersaing dan mereka memilih Bersatu. Kegagalan parti Islam itu memenangi mana-mana kerusi bukanlah sesuatu yang tidak disangka. Ia juga tidak memenangi apa-apa pada PRU14.
Secara tradisinya, Melaka bukanlah kubu kuat PAS, walaupun hakikatnya, ia memilih untuk menyokong “kuda” yang salah dalam perlumbaan ini. Keputusannya untuk tidak menggunakan logo sendiri mungkin menyumbang kepada kekalahannya dan langkah kerajaan Kedah pimpinan PAS mengharamkan kedai 4D di negeri itu semestinya tidak membantu memenangi hati pengundi bukan Islam.
Parti itu tidak perlu berdepan persoalan sukar mengenai hala tujunya dari sini, berhubung kaitannya dengan Umno, terutamanya dengan PRU semakin hampir.
Menang: Rauf dan Sulaiman
Pengkritik Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali menuduh mereka menjadi punca empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah, mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri bulan lepas.
Rauf dituduh sebagai “tok dalang” di sebalik pentadbiran Sulaiman, dakwaan yang mereka nafikan. Mereka berdua menang kukuh dan Sulaiman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri buat kali kedua.
Pilihan raya itu meningkatkan kewibawaan mereka dalam Umno, lebih-lebih lagi apabila BN memperoleh semula majoriti dua pertiga di Melaka.
Kalah: ‘Katak’ politik
Beberapa individu yang sebelum ini berpaling tadah bertanding dalam PRN kali ini, termasuk bekas ADUN Umno, Idris Haron and Nor Azman Hassan. Bekas wakil rakyat DAP Norhizam Hassan Baktee turut bertanding sebagai calon bebas, manakala calon Ketua Menteri PN, Mas Ermieyati Samsudin, sebelum ini meninggalkan Umno pada 2018.
Tiada antara mereka yang menang. Satu-satunya individu yang sebelum ini melompat yang berjaya mengekalkan kerusinya adalah ADUN Rembia Muhammad Jailani Khamis.
Menang: Muka baharu Bersatu
Dua muka baharu Bersatu menempa nama dalam PRN kali ini, menewaskan calon PH dan BN.
Di Bemban, Mohd Yadzil Yaakub menang dalam pertembungan lima penjuru, yang turut melibatkan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew. Barangkali kejutan yang lebih besar adalah di kubu kuat Umno, Sungai Udang, di mana Mohd Aleef Yusof memenangi pertarungan empat penjuru.
Kalah: PKR dan Amanah
PKR dan Amanah bertanding di 20 kerusi secara keseluruhan, dan akhirnya menang hanya satu, iaitu kerusi Bukit Katil milik bekas Ketua Menteri Adly Zahari. Bukan itu sahaja, pertaruhan mereka mencalonkan Idris dan Nor Azman – yang mengakibatkan kedua-dua parti dikritik hebat – tidak membuahkan hasil.
Namun yang lebih membimbangkan adalah PRN Melaka nampaknya mengesahkan kelemahan PH – mereka tidak mampu meraih undi Melayu.
Jika PKR dan Amanah tidak dapat meraih sokongan Melayu buat PH, siapa lagi?
Menang: Pengundi (harap-harapnya)
Penyokong PH dan rakyat Melaka, yang sudah muak dengan permainan politik, mungkin boleh berasa selesa dengan ikrar Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan negeri baharu akan mendesak reformasi, termasuk undang-undang antilompat parti di DUN Melaka.
Reformasi lain yang katanya akan didesak BN adalah peruntukan bagi undi percaya yang membina, dan peruntukan yang adil bagi semua wakil rakyat, semuanya bertujuan memastikan kestabilan politik.
Jika ini menjadi kenyataan, ia boleh menetapkan nada bagi rupa politik Malaysia pada masa hadapan.
Kalah: Pemimpin Umno mesra PN
Beberapa pemimpin Umno, khususnya anggota Jemaah Menteri yang menyokong bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, mendiamkan diri sejak kebelakangan ini dan orang dalam parti mengadu bahawa pemimpin-pemimpin ini tidak cukup meluangkan masa berkempen untuk BN di Melaka.
Keputusan PRN menunjukkan bahawa akar umbi gembira dengan kepimpinan semasa dan bagaimana ia menerajui Umno dalam melayari landskap politik.
Ia juga meredakan dakwaan bahawa Umno tidak mampu bergerak sendiri, dan mesti bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.