Kanak-kanak jatuh bangunan ‘norma baharu’ di bandar?

Kanak-kanak jatuh bangunan ‘norma baharu’ di bandar?

Sikap cuai tidak kira sama ada ibu bapa atau pengasuh berisiko mengancam nyawa anak-anak.

Rabu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bagai direntap jiwa ibu dan bapa tatkala mendengar berita kematian anak yang masih kecil, usia yang ketika itu sedang dibelai manja, pergi dalam keadaan yang cukup tragis.

Sejak akhir-akhir ini, sering kali berita berkenaan kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh bangunan terpampang di laman berita. Kes ini bukanlah perkara baru, malah saban tahun berlaku, namun seolah-olah ia tidak cukup memberi pengajaran buat semua.

Baru-baru ini, pada 16 Nov seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun juga maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan berita, pada hari kejadian bapa mangsa meninggalkannya seorang diri tanpa pengawasan di rumah, sebelum mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh kakitangan pengurusan di kawasan koridor di tingkat lapan kondominium terbabit.

Keesokannya pula, di Batu Caves, Gombak, Selangor, kejadian sama menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun apabila maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium.

Bulan lalu, pada 18 Okt, seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun meninggal dunia setelah terjatuh dari bangunan hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Malah, tular juga beberapa video di media sosial yang dirakam orang awam memaparkan kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas memanjat keluar balkoni, membuat ramai seakan mahu luruh jantung melihat aksi berani tersebut.

Video dirakam orang ramai yang tular di media sosial memaparkan kanak-kanak memanjat keluar balkoni, membuat ramai seakan mahu luruh jantung.

Menurut Pakar Psikologi Kanak Kanak Universiti SEGi, Dr Mariani Md Nor berkata, apabila berlaku kes membabitkan kecuaian terhadap kanak-kanak, mata masyarakat tertumpu kepada ibu bapa terlebih dahulu, sebelum pergi kepada pengasuh.

Ini kerana sikap cuai tidak kira sama ada ibu bapa atau pengasuh berisiko mengancam nyawa dan membuka ruang yang boleh mendatang bahaya kepada anak-anak.

Justeru, ibu bapa perlu segera mengikis sikap sambil lewa dengan sentiasa peka menjangka perkara-perkara di sekeliling yang boleh mendatangkan bahaya kepada anak. Ini termasuk susun atur di dalam kediaman yang menekankan aspek keselamatan.

Beliau berkata perkembangan neuron kanak-kanak di usia enam tahun ke bawah masih belum cukup matang untuk membezakan situasi baik dan buruk walaupun telah ditegur ibu bapa.

“Enam tahun pertama kanak-kanak adalah sangat aktif disebabkan sikap ingin tahu mereka dalam nak mencuba sesuatu yang baharu. Namun pada masa sama anak-anak seusia ini tidak tahu membezakan baik dan buruk.

“Jadi sebagai contoh melihat anak seusia begitu memanjat keluar balkoni dengan ketinggian yang bahaya menunjukkan mereka belum mampu membezakan situasi bahaya atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.

Selain itu, tambahnya, ketegasan dalam mendidik anak juga amat penting. Ujarnya, perlu ada bentuk hukuman yang sesuai agar mereka mengingati ada perkara yang ditegur oleh ibu bapa perlu dituruti.

“Hukuman pula bukanlah yang berat, tetapi hukuman dalam memastikan mereka akan ingat apa yang telah diajar oleh ibu bapa kerana jika setakat teguran mereka tidak akan mudah patuh,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.