Polis siasat kematian OKT ketika dalam siasatan

Polis siasat kematian OKT ketika dalam siasatan

Ia susulan laporan bedah siasat oleh pakar forensik patalogi Hospital Raja Perempuan Zainab II tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

Polis menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membuat pelbagai andaian berhubung kejadian terbabit.
PETALING JAYA:
Polis akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) berusia 23 tahun, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata ia susulan laporan bedah siasat oleh pakar forensik patalogi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

Terdahulu, katanya, mangsa sedang dirakam percakapan dan dokumentasi bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kelantan sebelum dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih.

“Pegawai dan anggota yang dalam proses rakaman percakapan itu telah bertindak segera dengan mengejarkan mangsa ke HRPZ II bagi mendapatkan bantuan untuk merawat dan menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan menggigil dan tidak sedarkan diri.

Shafien berkata setelah bantuan diberikan oleh pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 2.30 petang.

“Ekoran daripada itu, satu kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan awal berhubung kejadian ini,” katanya, menurut laporan Bernama.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membuat pelbagai andaian berhubung kejadian terbabit.

“Hala tuju siasatan polis akan ditentukan setelah laporan penuh dikeluarkan oleh pakar forensik berhubung punca kematian mangsa.

“Pakar hanya memutuskan keputusan awal punca kematian mangsa sebagai ‘unascertained’ dan punca kematian bergantung selanjutnya kepada laporan analisis dan ujian makmal yang akan dilakukan oleh pihak patalogi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.