
Borang 14 mengandungi jumlah undian dikira yang diterima setiap calon.
Pada sidang media, Ketua Hal Ehwal Undang-undang Pilihan Raya PKR G Manivannan berkata, arahan itu tidak menyatakan bahawa tandatangan ketua tempat mengundi diperlukan pada Borang 14 seperti diperuntukkan oleh Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981.
“Mengikut undang-undang, ejen mengira undi bagi setiap parti berhak mempunyai satu salinan rasmi Borang 14.
“Borang itu mesti ditandatangani oleh ejen mengira undi dan ketua tempat mengundi, tetapi kami dapati arahan SPR bagi PRN kali ini tidak menyebut keperluan untuk tandatangan ketua tempat mengundi.
“Arahan tersebut malah menyebut ketua tempat mengundi tidak perlu mengesahkan borang itu dengan cop getah,” katanya.
Tambahnya, tandatangan ketua tempat mengundi penting jika timbul pertikaian mengenai keputusan PRN kerana Borang 14 akan menjadi bahan bukti utama.
Beliau kemudian meminta SPR mengesahkan bahawa ketua tempat mengundi masih perlu menandatangani Borang 14, dengan satu salinan rasmi diberikan kepada ejen mengira undi.
“Pada masa lalu, ada kejadian Borang 14 tidak ditandatangani dan ini menyulitkan keadaan apabila timbul pertikaian,” katanya.