
Tertuduh Ooi Chuen Wei, 36, yang juga warga Malaysia hari ini didakwa atas sembilan pertuduhan menipu dengan menyamar. Dia sebelum ini didakwa pada 13 November kerana menipu seorang wanita dengan cara sama, seterusnya keseluruhan kini menghadapi 10 tuduhan.
Laporan Berita Mediacorp memetik kenyataan polis sebelum ini berkata, Ooi menyamar menjadi pakar sakit puan dari sebuah hospital dan mempelawa seorang mangsa untuk menyertai kempen “meningkatkan kesedaran bagi kesihatan wanita”.
Dia juga didakwa meminta gambar alat sulit wanita itu bagi “tujuan penyelidikan” dan membuat profil Facebook untuk berpura-pura menjadi doktor. Polis kemudian mengenal pasti tertuduh lalu menahannya awal bulan ini.
Ooi dituduh menipu 10 wanita antara April 2020 hingga Oktober 2021. Dokumen mahkamah menunjukkan dia didakwa memperdaya untuk menghantar lebih 260 gambar payudara dan alat sulit, selain 41 video juga melibatkan alat sulit mangsa.
Seorang wanita yang dikatakan ditipu oleh Ooi sejak Disember 2020 hingga Ogos 2021, menghantar gambar dan video kepada Ooi sebanyak 10 kali.
Sementara itu, wanita yang paling kerap ditipu oleh Ooi telah menghantar 46 gambar dan 12 video alat sulit kepada tertuduh sebanyak 24 kali, menurut kertas pertuduhan.
Pendakwa raya hari ini meminta kes itu ditangguhkan sementara menunggu siasatan, selain membolehkan penyiasat mengeluarkan bukti forensik dari peranti yang dirampas daripada Ooi.
Ooi ditawarkan ikan jamin SGD15,000 (RM46,215) dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada Disember ini.
Tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda atas setiap dakwaan jika sabit kesalahan.