Tabika ‘balai polis’ jadi tarikan di IPK Sabah

Tabika ‘balai polis’ jadi tarikan di IPK Sabah

Suasana di Tabika Kemas Al-Ghazali seperti sebuah balai polis sebenar yang diwujudkan hasil cetusan idea gurunya, Mastina Masir

Para pelajar memakai pakaian seragam polis untuk melakukan salah satu aktiviti di tabika.
KOTA KINABALU:
Sekali pandang, Tabika Kemas Al-Ghazali di sini, kelihatan seperti sebuah balai polis.

Itu adalah keunikan tabika yang terletak di kawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hasil cetusan idea dan inisiatif seorang guru yang juga pengurusnya, Mastina Masir.

Mastina berkata, idea itu timbul sejak 2017 namun ia hanya menjadi kenyataan sebaik tabika itu berpindah ke bangunan baharu tahun lalu.

“Sebelum ini kami beroperasi di bangunan lama dalam IPK Sabah namun atas usaha Datin Faziah Abdul Hamid, iaitu isteri kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, ia dipindahkan ke kawasan perumahan IPK.

“Saya terfikir untuk mewujudkan suasana pembelajaran seperti di balai polis sejak 2017 lagi. Di bangunan lama, strukturnya juga tidak ubah seperti balai polis.

“Idea ini akhirnya berjaya direalisasikan selepas kami berpindah ke bangunan baharu pada tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Mastina berkata, dia mendapat sokongan IPK Sabah untuk meneruskan idea itu sebelum menyediakan kertas kerja dengan bantuan dan rujukan beberapa pakar termasuk daripada Bahagian Pendidikan Kanak-Kanak, Kemas di Putrajaya.

“Hasrat ini diperkukuhkan lagi dengan usaha Kemas yang sedang merangka bagi memperluaskan modul STREAM (modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).

“Salah satu aspek dalam modul ini adalah keselamatan. Ketika ini hanya tentera yang melaksanakannya di Negeri Sembilan dan saya terfikir mengapa tidak diwujudkan suasana balai polis pula,” katanya.

Ketika ini, tabika berkenaan mempunyai seramai 80 murid dan hampir semuanya terdiri daripada anak-anak anggota dan pegawai polis.

Tambah Mastina, terdapat empat konsep yang dipilih dalam pembelajaran kanak-kanak di situ, iaitu Komersial – ‘Reading Room’, Forensik – ‘Lets Discovery’, Trafik – ‘Craft and Innovation’ dan Narkotik – ‘Dramatic play’.

Katanya, penerapan sains dan teknologi dalam STREAM berjaya menarik minat murid dan tabika itu juga banyak menggunakan teknologi dalam pelaksanaan aktiviti mereka.

“Sebagai contoh menerusi ‘reading room’, kanak-kanak akan menggunakan internet untuk mencari maklumat, begitu juga dengan ‘discovery’ apabila mereka akan didedahkan dengan digital forensik.

“Kami juga bakal membina satu simulasi trafik di sini dengan suasana sebenar di jalan raya yang lengkap dengan lampu isyarat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.