
MAHB berkata, ia meningkat daripada 362,000 penumpang pada September kepada 1.18 juta penumpang pada Oktober.
“Peningkatan sebanyak 226% ini dilihat selepas sekatan perjalanan rentas negeri ditamatkan. Ia turut menyumbang kepada sasaran kumpulan untuk mencapai lebih satu juta pergerakan trafik penumpang buat pertama kalinya di Malaysia tahun ini,” kata Pengarah Urusan MAHB Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan hari ini.
Aset MAHB di negara lain seperti di Turki juga turut merekodkan pergerakan trafik penumpang yang positif.
“Pada Oktober, Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul mencatatkan 2.7 juta penumpang dengan peningkatan sebanyak 13% berbanding bulan sebelumnya dari segi pergerakan trafik penumpang antarabangsa.”
Beliau berkata, kadar vaksinasi yang tinggi di Turki dan pelaksanaan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di sana mungkin menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk melawat negara itu.
Selain itu MAHB berkata, jumlah operasi kargonya yang direkodkan sehingga Oktober tahun ini adalah sebanyak 869,445 tan metrik, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 26% dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau turut menyambut baik pengumuman mengenai Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi dan koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia dengan berkata, ia akan meningkatkan trafik penumpang dalam beberapa bulan akan datang.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, laluan KLIA-Changi menjadi laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia untuk dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2018 dan 2019, yang merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun.
“Kemungkinan permintaan sama akan terus wujud untuk laluan ini,” katanya.