
Keputusan PAS menyokong pencalonan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, adalah berbeza ketika parti itu menolak pencalonan Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Menteri Besar Selangor, pada 2015.
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, turut menyifatkan mereka yang membandingkan kononnya parti itu sudah berubah pendirian sebagai ‘tidak faham sejarah’.
Katanya, tindakan PAS menolak pencalonan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor ketika itu bukan kerana jantina, sebaliknya soal kebolehannya memimpin negeri.
“Ada orang cakap dulu PAS tolak calon MB (Menteri Besar) wanita, kini kenapa terima calon Ketua Menteri Melaka wanita ialah mereka tak baca sejarah atau baca sejarah sekerat sahaja.
“Dalam isu calon MB wanita di Selangor pada 2015, yang PAS tolak bukan kerana isu jantina. Malah Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada waktu itu telah menjelaskan bukan soal isu jantina tetapi isu lain, isu soal kebolehan dan kemampuan,” katanya.
Pada 2018, Wan Azizah menjadi wanita pertama di negara ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Fadhli berkata, mereka yang menuduh PAS kononnya menolak wanita untuk menjadi pemimpin sebagai orang yang “kecut perut” dengan PN dalam PRN Melaka.
Katanya, PAS sejak dari awal konsisten mengangkat wanita sebagai pemimpin malah negeri yang ditadbir PAS barisan exco turut disertai wakil wanita.
“Adakah mereka tak sedar PAS sudah lama letak calon wanita bertanding di Kelantan? Adakah mereka tak sedar PAS letak calon wanita bertanding sejak pilihan raya pertama lagi, adakah mereka tak sedar exco di negeri ditadbir oleh PAS juga terdiri dari kaum wanita?” katanya.
Semalam, PN menamakan Mas Ermieyati sebagai calon tunggal Ketua Menteri jika gabungan itu menang dalam PRN Melaka Sabtu ini.
Dengan pengumuman itu, PN satu-satu gabungan yang mempertaruhkan wanita sebagai calon Ketua Menteri Melaka baharu.