Mahkamah Persekutuan benar permohonan anak angkat dapatkan kewarganegaraan

Mahkamah Persekutuan benar permohonan anak angkat dapatkan kewarganegaraan

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata kerajaan tiada hak untuk memutuskan anak terbabit tidak bernegara, jika permohonannya menepati semua syarat.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan bahawa kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang adalah satu hak yang asas dan menepati Perlembagaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini berkata, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhak menafikan permohonan mana-mana anak untuk mendapatkan kewarganegaraan apabila mereka memenuhi semua syarat dari segi undang-undang.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam penghakimannya mengenai permohonan seorang remaja untuk mendapatkan kewarganegaraan, berkata kerajaan perlu melaksanakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan permohonan kewarganegaraan.

“Dari segi ini, kita diingatkan untuk mematuhi bahawa kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang adalah satu hak yang asas dan menepati Perlembagaan.

Tengku Maimun Tuan Mat.

“Tiada ruang langsung bagi tanggapan atau andaian subjektif dibuat berkenaan maksud kewarganegaraan,” katanya, dalam membenarkan permohonan remaja berkenaan.

Dalam kes itu, remaja lelaki yang kini berusia 17 tahun ditinggalkan oleh ibu kandungnya ketika bayi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Januari 2004.

Sepasang suami isteri kemudian mengambilnya sebagai anak angkat dan menamakannya “CYM”. Pasangan itu menyalurkan segala maklumat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan jabatan itu mengeluarkan sijil kelahiran.

Bagaimanapun, apabila anak itu mencecah usia 12 tahun pada 2016, JPN enggan mengeluarkan kad pengenalan buatnya, dengan menyatakan terdapat “sedikit ketidaktepatan” berhubung nama budak lelaki itu dan kakak angkatnya.

Pasangan berkenan kemudian menyerahkan sijil kelahiran anak itu kepada JPN, dan sijil kelahiran kedua dikeluarkan buatnya.

Dalam sijil kelahiran kedua, JPN merekodkan maklumat ibu bapanya sebagai “tiada” dan status kewarganegaraan anak terbabit “belum ditentukan”.

Pasangan berkenaan pada 2017 memformalkan proses pengangkatan anak itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan memohon semula sijil kelahiran baharu.

Bagaimanapun, dalam sijil kelahiran ketiga, JPN merekodkan status anak itu sebagai “bukan warganegara”, dan ini menjadikannya tidak bernegara.

Tengku Maimun berkata, tiada pertikaian bahawa anak itu ditinggalkan selepas dilahirkan di HUKM.

“Fakta ini diakui dalam perintah pengangkatan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan dalam sijil kelahiran ketiganya.

“Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan berhujah bahawa ibu bapa angkat itu menyembunyikan fakta bahawa identiti ibu bapa kandung anak itu diketahui atau boleh ditemui tetapi disembunyikan.

“Tiada apa-apa dalam keterangan, setakat yang telah diteliti, menunjukkan bahawa ibu bapa angkat itu berbohong mengenai fakta (anak itu) ditinggalkan,” katanya.

Tengku Maimun berkata, mengikut Perkara 19B Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, beban terletak pada kerajaan untuk membuktikan bahawa ibu kandung kanak-kanak itu bukan pemastautin tetap di sini.

“Pastinya KDN memiliki segala jentera penting untuk mengesahkan identiti ibu kandung anak itu, jika bukan bapanya, daripada rekod kemasukan hospital.

“Oleh itu, sebagai rekod, responden tidak dapat melepaskan beban pembuktian itu,” katanya.

Tengku Maimun berkata, dalam menangani kes serupa pada masa depan, kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap keputusan hari ini.

“Ketika menangani permohonan pendaftaran anak baru lahir sebegitu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjalankan siasatan sewajarnya bagi menentukan status ibu bapa atau ibu kandungnya.

“Jika selepas siasatan didapati fakta peninggalan adalah benar, mereka diwajibkan oleh undang-undang tertinggi negara untuk mengiktiraf permohonan kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang,” katanya.

Remaja itu diwakili peguam Cyrus Das, Raymond Mah dan Jasmine Wong manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bing dan Mazlifah Ayob mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.