
Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek berusia 30-an ditahan di sekitar Klang selepas mangsa membuat laporan berkaitan kenderaan jenis Proton X70 miliknya disimbah cat.
“Kejadian pertama berlaku pada Selasa dan mangsa berusia 50-an kemudian membawa kenderaan berkenaan ke pusat mencuci kenderaan di Jalan Taman Pandamaran Permai, Klang, untuk membersihkan simbahan cat pada 10.30 pagi.
“Ketika menghantar kereta ke pusat mencuci kenderaan itu, muncul dua suspek yang kemudian bertindak membakar kenderaan terbabit,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Arjunaidi berkata, siasatan lanjut dijalankan dan polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 29 hingga 64 tahun.
“Kami percaya motif kejadian ini ada kaitan dengan tugas mangsa yang bertugas di Pelabuhan Klang, manakala kelima-lima suspek terbabit dipercayai bekerja sebagai ejen ‘forwarding’ (penghantar) di Pelabuhan Klang.
“Semakan mendapati semua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.