Wanita mengaku tak salah mahu ‘telanjangkan’ polis

Wanita mengaku tak salah mahu ‘telanjangkan’ polis

Nur Jawaheer Ismail, 34, didakwa mengaibkan kehormatan anggota polis Maslin Samih di sekatan jalan raya Jun lalu.

Tertuduh, Nur Jawaheer Ismail (dua dari kanan) diiringi polis dan peguamnya di Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Seorang wanita yang pernah tular di media sosial selepas dirakam mengherdik polis di sekatan jalan raya (SJR), di sini, 1 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Nur Jawaheer Ismail, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang anggota polis, Maslin Samih dengan menyebut perkataan “nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau”.

Mengikut kertas pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku pada 5.30 petang dalam sekatan jalan di Jalan Kepayan.

Nur Jawaheer didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, DK Afiqah Alya dan Adibah Saiful manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

Kejadian itu tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman warganet walaupun tidak diketahui punca sebenar insiden itu.

Nur Jawaheer kemudian ditahan polis pada 17 Jun lalu sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.