UNESCO iktiraf Kuching sebagai bandar raya kreatif

UNESCO iktiraf Kuching sebagai bandar raya kreatif

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Nancy Shukri berkata, pengiktirafan itu bukti komitmen Malaysia promosi negara di peta dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Nancy Shukri, berkata pengiktirafan itu sekali gus menjadikan bandar raya Kuching lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan budaya.
KUALA LUMPUR:
Pengisytiharan Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi, membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam mempromosi negara di peta dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Nancy Shukri, berkata pengiktirafan itu sejajar hasrat Malaysia memupuk elemen inovasi dan kreativiti sebagai pemacu ke arah pembangunan bandar raya lestari dan inklusif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan.

Dalam kenyataan dikeluarkan MOTAC, Nancy berkata, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama padu antara MOTAC, kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut kenyataan itu, MOTAC akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pemegang taruh yang terlibat bagi memperhalusi strategi lebih pragmatik ke arah mempergiatkan lagi program serta aktiviti yang dapat memperlihatkan bandar raya Kuching sebagai sebuah Bandar Raya Kreatif.

“Pengiktirafan ini sekali gus menjadikan bandar raya Kuching lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan budaya di persada antarabangsa dan sekali gus merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan serta kebudayaan Malaysia.

“Kepelbagaian menu warisan dan hidangan berasaskan etnik menjadikan Kuching sesuai diangkat sebagai bandar raya kreatif kategori gastronomi. Kekayaan biodiversitinya yang mempunyai pelbagai tumbuhan herba yang boleh dijadikan sebagai sumber makanan akan terus memberi nilai tambah kepada kekayaan budaya bandar raya ini,” menurut kenyataan itu.

Selain bandar raya Kuching, terdapat 48 bandar di seluruh dunia turut mendapat pengiktirafan seumpama itu tahun ini, menjadikan jaringan bandar raya kreatif UNESCO (UNESCO Creative Cities Network) kini berjumlah 295 bandar, di 90 negara dalam bidang kraf dan seni tradisional, reka bentuk, filem, gastronomi, kesusasteraan, seni media dan muzik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.