SKMM diarah kaji tindakan lebih proaktif tangani kandungan hina agama, kaum dan raja

SKMM diarah kaji tindakan lebih proaktif tangani kandungan hina agama, kaum dan raja

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata beliau difahamkan buat masa ini perkara itu sedang dirujuk SKMM kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merujuk Jabatan Peguam Negara mengenai hukuman lebih tegas terhadap pihak yang memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan majlis raja-raja.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diarah melihat semula prosedur operasi standard (SOP) untuk mengkaji tindakan lebih proaktif yang boleh diambil terhadap pihak yang memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan majlis raja-raja dalam media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, beliau difahamkan buat masa ini perkara itu sedang dirujuk oleh SKMM kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Ini untuk membolehkan penafsiran yang lebih jelas bawah perundangan sedia ada yang dirasakan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi boleh dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan agama-agama lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang ingin tahu langkah strategik yang diambil oleh SKMM bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan sama ada kekurangan tenaga kerja menyebabkan kurangnya pemantauan kandungan sedemikian dalam media sosial, Annuar menafikan kenyataan itu.

“Ia adalah soal berkaitan bagaimana media sosial dikendalikan misalnya oleh penyedia-penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di luar negara dan mereka yang mempunyai hak untuk menurunkan hantaran berbaur penghinaan.

“Sementara itu kita tertakluk kepada proses perundangan tertentu kerana pelanggaran itu, kebanyakannya bila ia bercanggah dengan mana-mana peruntukan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan, maka proses penyiasatan dan proses lain perlu dilakukan, jadi proses ini yang biasanya mengambil masa panjang,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada kerajaan sedia mempertimbangkan dengan serius untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional, Annuar berkata, undang-undang baharu bukan jawapan kepada isu keharmonian rakyat.

Dalam isu itu jelasnya, advokasi dan usaha berterusan untuk mendorong dan menggalakkan rakyat mengamalkan sikap dan nilai bersesuaian dengan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan adat resam adalah lebih penting.

“Budaya ini sudah kukuh terpahat dalam negara, cuma langkah berterusan adalah untuk menerapkan dan mengukuhkan lagi nilai-nilai saling hormat-menghormati atas kepelbagaian dan tidak membangkitkan perkara-perkara perkauman, menyentuh soal-soal kedudukan raja-raja, agama dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.