
Sumber memberitahu FMT bahawa di bawah peraturan mahkamah, petisyen itu mesti difailkan dalam tempoh 10 hari di Mahkamah Persekutuan selepas menerima rekod rayuan yang antara lain terdiri daripada alasan penghakiman dan nota prosiding.
“Kegagalan berbuat demikian bermakna rayuan mungkin telah luput dan keputusan oleh Mahkamah Rayuan itu kekal, melainkan pendakwaan memohon lanjutan masa,” kata peguam A Srimurugan.
FMT cuba mendapatkan komen daripada Peguam Negara Idrus Harun.
Pada 29 Okt lalu, penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan oleh Suraya Othman dan Ahmad Nafsy Yasin dibuat bagi membenarkan rayuan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah.
Penghakiman minoriti Abu Bakar Jais untuk mempertahankan sabitan Ku Nan juga dikeluarkan pada hari yang sama.
Pengurusan kes diadakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Persekutuan minggu lalu, namun tidak jelas perkembangannya.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Ku Nan pada 16 Julai selepas mendengar hujahan pihak-pihak pada 22 April.
Penghakiman majoriti berkata, RM2 juta yang diberikan oleh seorang ahli perniagaan kepada Ku Nan dibuktikan oleh pihak pembelaan sebagai sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK).
Ahmad (Nasfy Yasin), yang mewakili majoriti berkata, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa Ku Nan menerima wang terbabit untuk dirinya daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Chai Kin Kong.
Bagaimanapun Abu Bakar berkata, hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan yang tepat bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengambil wang RM2 juta itu untuk dirinya kerana tidak ada bukti menunjukkan beliau atau syarikatnya menyalurkan wang yang diterima daripada Chai sebagai sumbangan politik kepada Umno.
Abu Bakar berkata, dakwaan Ku Nan bahawa wang terbabit diberikan sebagai sumbangan politik, bukan untuk dirinya secara peribadi adalah tidak benar.
Hakim itu berkata, ini kerana tiada sebarang rekod yang membuktikan bahawa wang itu diberikan kepada Umno.
Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan menerima wang menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat (AKSB) yang didepositkan ke dalam akaun CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd dengan Tengku Adnan mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.