
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, data mengenai vaksin heterologus tidak cukup untuk meyakinkan sesetengah orang manakala Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, satu-satunya cara untuk menggalakkan penerimaan itu adalah dengan meningkatkan penyediaan maklumat rasmi.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberi suntikan dos penggalak kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin Sinovac. Penerimanya akan diberikan suntikan dos penggalak vaksin Pfizer.
“Harus diingat bahawa peratusan mereka yang mula diberi suntikan vaksin Sinovac sebenarnya telah memilihnya sejak awal lagi,” kata Koh kepada FMT.
Awal bulan ini, media melaporkan bahawa Pharmaniaga Bhd menawarkan vaksin Sinovac kepada KKM untuk diberikan kepada mereka yang memilih jenama itu sebagai dos penggalak.
Semalam, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah memberikan kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin Astrazeneca dan Sinovac sebagai dos penggalak.
Koh berkata, satu lagi sebab yang menyebabkan kurangnya kehadiran penerima dos penggalak ialah ia mula diberikan kepada warga emas yang kebanyakannya tidak mahir menggunakan teknologi maklumat.
Katanya, biarpun mereka memiliki telefon pintar namun ia mungkin hanya digunakan untuk mengimbas aplikasi MySejahtera ketika masuk ke kedai atau premis dan tidak menyedari terdapat janji temu telah ditetapkan untuk mereka.
“Peratusan daripada golongan usia ini mungkin tidak boleh membaca,” katanya.
“Ramai warga emas juga merupakan tanggungan dan kita tahu sesetengah penjaga tidak menyedari telah ada janji temu ditetapkan.
Azrul berkata, kurangnya penjelasan lebih jelas mengenai keperluan dos penggalak dan keraguan itu bertambah dengan laporan media yang mempersoalkan keperluannya.
“Saya khuatir kerana mungkin terdapatnya kebimbangan besar dan keengganan untuk menerima dos penggalak dalam kalangan masyarakat Cina yang sering diketengahkan dan dibincangkan oleh akhbar berbahasa Cina,” katanya kepada FMT.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata, orang ramai perlu dididik mengenai suntikan dos penggalak terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Terdapat mesej yang tersebar dengan pelbagai pandangan mengenai dos penggalak, namun adalah penting untuk kita melihat bukti kukuh mengenai manfaatnya berbanding cerita daripada kumpulan tertentu,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, 40% daripada mereka yang layak menerima dos penggalak itu tidak hadir ke janji temu masing-masing.