
Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha mengawal perbelanjaan dan defisit fiskal untuk menjayakan semua inisiatif di bawah Belanjawan Johor 2022.
Mengikut rekod, Belanjawan Johor 2022 merupakan tahun kedua berturut-turut mencatatkan angka defisit sejak tahun lalu selepas 10 tahun merekodkan belanjawan lebihan.
“Usaha konsolidasi fiskal akan ditanggung sehingga terdapat tanda-tanda jelas bahawa asas pemulihan ekonomi sudah kukuh dan teguh menjadikan ini komitmen kerajaan negeri terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022.
Hasni berkata, bagi Belanjawan Johor 2022, kerajaan negeri mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan sebanyak RM1.958 bilion.
Belanjawan Johor 2022 yang membawa tema “Memperhebat Kesejahteraan Johor” merangkumi empat teras dan 12 agenda utama dengan fokus mendekati dan meringankan bebanan rakyat yang terhimpit ekoran wabak Covid-19 serta menggiatkan usaha awalan dalam memulihkan semula sektor ekonomi secara menyeluruh.