Asrama sekolah cetus kluster baharu di Ranau

Asrama sekolah cetus kluster baharu di Ranau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, turut dijangkiti daripada kluster terbabit ialah keluarga warden di asrama berkenaan.

Masidi Manjun berkata, setakat ini 22 orang disahkan positif dan kes indeks ialah seorang pelajar yang tinggal di asrama membabitkan kluster Kampung Kemburongoh.
KOTA KINABALU:
Satu kluster baharu yang direkodkan di Sabah hari ini, iaitu kluster Kampung Kemburongoh membabitkan pelajar dan warden yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh, di Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, turut dijangkiti daripada kluster terbabit ialah keluarga warden berkenaan.

“Setakat ini 22 orang disahkan positif dan kes indeks ialah seorang pelajar yang tinggal di asrama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 541 lagi kes baharu dicatatkan hari ini, berkurang 58 kes berbanding semalam.

“Kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala amat tinggi, iaitu 41.4% daripada jumlah kes keseluruhan .

“Di Kota Kinabalu, 43 daripada 93 kes hari ini adalah kes yang dikesan melalui saringan bergejala, 24 daripada 56 kes di Tuaran dan 15 daripada 28 kes di Kota Belud.

“Kes-kes dalam kategori ini juga dikenali sebagai kes sporadik kerana tidak diketahui di mana jangkitan berlaku dan daripada siapa tetapi yang pasti ia banyak berkait rapat dengan kegagalan mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, keberkesanan vaksin dapat dibuktikan melalui statistik harian jangkitan pesakit Covid-19.

“Setiap hari secara purata 98% pesakit Covid-19 hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

“Mereka tidak memerlukan rawatan di hospital dan hari ini cuma seorang pesakit dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan tiga orang dalam Kategori 5,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.