TUDM kenal pasti identiti 2 juruterbang pesawat Hawk

TUDM kenal pasti identiti 2 juruterbang pesawat Hawk

Dua juruterbang berkenaan dikenali sebagai Mohamad Affendi Bustamy dan Mohd Fareez Omar.

Keluarga kedua-dua juruterbang telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut, menurut Markas Tentera Udara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Identiti dua juruterbang yang terbabit dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang malam tadi telah dikenal pasti menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menerusi kenyataan, Markas Tentera Udara memaklumkan dua juruterbang berkenaan dikenali sebagai Mohamad Affendi Bustamy, yang meninggal dunia dalam nahas itu, manakala Mohd Fareez Omar mengalami kecederaan dan sedang dirawat.

Fareez berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu.

TUDM berkata, nahas di Pangkalan Udara Butterworth itu berlaku kira-kira 10.07 malam tadi ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden terbabit.

Beliau berkata, insiden itu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.